Memacu Pendidikan Berkualiti Di Prasekolah Melalui Permuafakatan Guru Dan Komuniti

  • Syed Lamsah Syed Chear
  • Norsyahida Mat Nazir
  • Siti Nur Nadirah Ibrahim
Keywords: pendidikan, prasekolah, permuafakatan, ibu bapa, komuniti

Abstract

Segelintir masyarakat mungkin masih beranggapan bahawa pendidikan hanya berlaku di dalam bilik darjah dan ia menjadi tanggungjawab guru semata-mata. Penglibatan ibu bapa terbatas kepada hal ehwal luar bilik darjah dan tidak berkaitan dengan aspek pedagogikal apatah lagi silibus pembelajaran. Sebaliknya teori dan model pendidikan mengaitkan faktor persekitaran dan peranan ahli keluarga dan masyarakat dalam mempengaruhi proses tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak. Aspirasi ibu bapa terhadap pendidikan, efikasi ibu bapa dan guru-guru serta persepsi ibu bapa terhadap peranan guru dan sekolah merupakan antara faktor yang mempengaruhi permuafakatan ibu bapa dan guru dalam pendidikan. Objektif kajian ini adalah untuk menilai tahap kesepakatan antara guru dan ibu bapa dalam meningkatkan kualiti pendidikan di prasekolah. Data kajian diperoleh melalui borang soal selidik dan temubual melibatkan guru dan ibu bapa di beberapa buah institusi prasekolah. Dimensi soal selidik dan temubual adalah untuk mengetahui gaya keibubapaan, kesediaan guru untuk bermuafakat dengan ibu bapa serta inisiatif di pihak institusi. Analisis kajian menunjukkan gaya keibubapaan dominan adalah autoritatif. Kalangan guru memberikan skor yang tinggi terhadap kemampuan memulakan inisiatif permuafakatan. Pentadbir institusi turut merangka strategi untuk menganjurkan permuafakatan ibu bapa dalam pendidikan. Hasil kajian ini memberi peluang kepada pihak berkepentingan seperti para pentadbir prasekolah dan pembuat dasar untuk mencadangkan program intervensi bagi meningkatkan keberkesanan penglibatan ibu bapa dan komuniti dalam pendidikan.

Published
2023-03-14
How to Cite
Syed Chear, S. L., Mat Nazir, N., & Ibrahim, S. N. N. (2023). Memacu Pendidikan Berkualiti Di Prasekolah Melalui Permuafakatan Guru Dan Komuniti. Selangor Humaniora Review, 6(2), 33-40. Retrieved from https://share.journals.unisel.edu.my/ojs/index.php/share/article/view/229

Most read articles by the same author(s)